AHAD | 26 FEBRUARI 2023

Urusan berkaitan kematian khususnya pengurusan jenazah yang bermula dari proses memandikan, mengkafankan sehingga pengebumian perlulah diuruskan dengan ilmu yang cukup supaya ianya dapat dijalankan mengikut syariat Islam dan tatacara penuh adab sebagai penghormatan terakhir kepada si mati. 

Justeru itu, Unit Hal Ehwal Islam HEBHK dengan Kerjasama Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah Islam peringkat HEBHK. Kursus ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan tentang ilmu pengurusan jenazah yang merupakan fardhu kifayah terhadap orang Islam disamping melatih tatacara pengurusan jenazah secara amali dengan pelaksanaan yang betul jika berlaku kematian

Turut hadir dalam kursus tersebut ialah Ustaz Mohammad Yusof bin Omar daripada  Bahagian Dakwah Pejabat Kadi Daerah Kluang selaku penceramah jemputan bersama dua orang fasilitator iaitu Ustazah Siti Anida bt Samuri dan Ustazah Noraini binti Kamari .

Sepanjang kursus itu, penceramah berkongsi ilmu dan pengalaman secara teori dan praktikal mengenai cara pengurusan jenazah meliputi aspek mandi, mengkafankan, solat dan pengebumian. Para peserta juga berpeluang membuat praktikal mandi dan mengkafankan di Jabatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom .

Rata-rata peserta yang ditemui berkata pengisian secara teori dan amali seperti proses memandikan, mengkafankan sehingga solat jenazah telah difahami dengan jelas.