TEORI DAN PRAKTIKAL KURSUS PENGURUSAN JENAZAH ISLAM

30 JUN 2024 | AHAD

Kematian adalah satu realiti yang pasti bagi setiap manusia. Dalam Islam,pengurusan jenazah merupakan salah satu kewajipan umat Islam yang harus dilaksanakan dengan penuh hormat dan mengikut syariat. Justeru itu, keperluan mengikuti kursus pengurusan jenazah adalah langkah penting untuk mempersiapkan diri setiap orang Islam agar dapat menjalinkan kewajipan dengan baik. 

Menyedari hakikat tersebut, Unit Hal Ehwal Islam dengan kerjasama Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah, Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah bertempat di Auditorium Raflesia.

Objektif kursus ini diadakan adalah untuk memberi pengetahuan dan pendedahan kepada para peserta berkaitan tatacara, adab-adab dan kaedah pengurusan jenazah secara teori dan praktikal di samping melahirkan rasa tanggungjawab dan hubungan kerjasama antara peserta berkaitan aspek fardhu kifayah.

Turut hadir ialah YBrs.Dr. Zulkifli bin Mohd Shafiin, Pengerusi Hospital Mesra Ibadah HEBHK dan Al- Fadhil Ustaz Mohammad Yusoff bin Omar dan YBrs. Ustazah Siti Anida binti Samuri dari Pejabat Kadi Daerah Kluang. 

Seramai 80 orang peserta dari pelbagai jawatan dan unit telah menyertai kursus ini dan para peserta turut didedahkan dengan topik persediaan menghadapi orang yang nazak, kaedah memandikan dan mengkafankan juga cara-cara menunaikan solat jenazah.

Semoga penganjuran kursus ini dapat memberi manfaat kepada semua warga HEBHK dan dalam masa yang sama membangkitkan sikap ikhlas dan empati dalam hati.